Home Utama Jangan jadi ‘lembu kenyang’, batal ICERD di Parlimen

Jangan jadi ‘lembu kenyang’, batal ICERD di Parlimen

Dr Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu segera memuktamadkan secara rasmi keputusan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) mengikut kehendak perundangan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, keputusan itu perlu dikemukakan usulnya di Parlimen yang sedang bersidang ketika ini supaya ICERD ditolak oleh kerajaan secara rasmi dan direkodkan dalam hansard.

Katanya, tindakan membawa usul di Parlimen akan menghilangkan keraguan sepenuhnya oleh majoriti rakyat kerana masih ada pihak yang membuat pelbagai spekulasi serta andaian bahawa keputusan kerajaan menolak ICERD adalah strategi sementara untuk mengelak perhimpunan rakyat pada 8 Disember ini.

“Ada yang berpendapat tipu helah ini adalah suatu yang benar berdasarkan banyak pengalaman berlaku sebelum ini.

“Antaranya bagaimana kerajaan berdolak-dalik terhadap janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam Manifesto PH.

“Dakwaan rakyat bahawa kerajaan buat umpama ‘lembu bodoh atau lembu kenyang’ sahaja. Sebab itu rakyat tidak yakin selagi sesuatu keputusan jika tidak dibuat mengikut peraturan undang-undang atau prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr Ibrahim berkata, jika usul itu dibawa pada sesi Parlimen esok, Pas dan UMNO yang menganjur perhimpunan 8 Disember ini perlu membatalkan rancangan itu walaupun atas nama perhimpunan kesyukuran.

Katanya, jika perhimpunan itu diteruskan bermakna Pas dan UMNO sengaja mengeksplotasi keuntungan politik.

“Cukuplah menyusahkan rakyat dan bermain dengan sentimen emosi untuk mencari laba politik atas penderitaan rakyat. Lebih baik fokus kepada isu kos sara hidup rakyat yang semakin terhimpit dan menuntut janji dari PH sebelum PRU 14.

“Kegagalan menunai janji bukan sahaja berdusta dengan rakyat, tetapi berdosa besar dengan Allah. Dosanya azab api neraka,” ujarnya.

Menurut Dr Ibrahim, isu dan masalah harian rakyat lebih penting termasuk terus bertindak mendesak agar semua pemimpin sama ada dari Barisan Nasional (BN) dan PH didakwa atas isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, bukan dibuat secara terpilih di satu pihak.

Beliau berkata, ini baru dikatakan benar-benar jujur telus dan pasti mendapat keredaan Allah.

“Secara umum marilah kita menolak mana-mana yang dianggap pemimpin, tetapi hipokrit dan munafik tanpa mengira fahaman politik. Mustahil rakyat masih tidak kenal yang mana hipokrit dan munafik.

“Kalau katak macam saya orang kenal, mustahil rakyat tidak dapat mengenali yang hipokrit dan munafik serta kebanjiran katak-katak begitu banyak akibat cuaca buruk,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette