KUALA LUMPUR – Pas mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) melalui cara lain walaupun tidak meratifikasikan perjanjian itu.
Ini kerana, kerajaan masih boleh menggguna pakai polisi-polisi liberal dengan meratifikasi konvensyen hak asasi manusia yang lainnya, yang mana dilabelkan sebagai anti-Islam.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, ia berkemungkinan jika kerajaan mengesahkan enam konvensyen lain termasuk Konvensyen Menentang Penyeksaan atau Deklarasi mengenai Sikap Tidak Toleransi dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, yang merangkumi piawaian untuk kebebasan beragama.
Sambil menyatakan curiga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang mengumumkan tidak akan meratifikasikan ICERD, beliau turut mempersoalkan tuntutan untuk ratifikasi enam konvensyen lain.
“Bagaimana dengan tuntutan enam konvensyen lain,” soalnya dalam Kongres Anti-ICERD di sini.
Pas yang turut menganjurkan perhimpunan anti-ICERD pada 8 Disember ini, mengajak semua orang Islam untuk bersama-sama menyertai acara itu.
Ini kerana tidak ada jaminan bahawa kerajaan menolak ICERD.
“Sebab itu penting untuk orang Islam menghadiri perhimpunan tersebut.
“Ia bertujuan menghantar mesej yang jelas dan kuat bahawa rakyat tidak mempercayai kerajaan Pakatan harapan dan mahu kerajaan menolak semua perjanjian hak asasi manusia antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette