PUTRAJAYA – Kemiskinan tidak seharusnya dijadikan penghalang kepada sesiapa sesiapa yang mahu berjaya dalam hidup seandainya mempunyai daya usaha berterusan dengan kecekalan tinggi.
Begitulah luahan hati bekas pelatih industri MalaysiaGazette, Yugashini Loghamani apabila diberikan biasiswa penuh bagi terus menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dengan Kepujian oleh pusat pengajian tersohor India, Universiti Manipal Antarabangsa (MIU).
Yugashini yang baharu sahaja berjaya menggengam diploma dalam bidang Komunikasi Massa 2016-2018 dari MIU melahirkan rasa terharu tidak terhingga sehingga mengalirkan air mata gembira.
Kata Yugashini atau lebih mesra dengan panggilan Yuga, 23, ada satu ketika selepas tamat pengajian, dirinya hanya terfikir untuk bekerja terlebih dahulu kerana situasi keluarga beliau tidak mampu membiayai lagi hasratnya untuk terus menyambung sehingga peringkat tertinggi.
“Saya mahu sekurang-kurangnya sambung belajar sehingga ke peringkat Sarjana dalam bidang yang saya amat sukai ini. Tetapi keadaan keluarga menyebabkan saya ‘kuburkan’ sahaja niat itu untuk sekian lama.
“Malah selepas habis diploma, memang mak dan ayah memberikan sokonganuntuk saya terus sambung ke peringkat ijazah namun apabila fikir tentang bebanan yang terpaksa ditanggung, saya batalkan sahaja hasrat itu.
“Saya juga mencari kerja sementara yang sesuai, sudah mula bekerja sebagai promoter di beberapa tempat untuk menampung kehidupan, malah ketika masih menuntut saya kadang-kadang bekerja separuh masa.
“Dalam pada itu, keluarga saya telah beberapa kali meminta juga saya meneruskan pengajian. Kata mereka kemiskinan tidak seharusnya menghalang saya merealisasikan impian. Saya rasa seperti hendak menangis berkali-kali dan sujud kepada mereka.
“Tetapi, rezeki datang bergolek apabila saya dikejutkan dengan tawaran penuh biasiswa ‘Vasanti Ramdas Pai Scholarship’ bagi menyambung ijazah saya.
“Bukan senang untuk mendapatkan biasiswa tetapi keprihatinan yang tinggi Universiti Manipal telah merealisasikan impian saya.
“Saya bersyukur kepada Tuhan, penghargaan kepada keluarga terutamanya ayah dan ibu, kakak serta adik. Tidak lupa kepada para pendidik serta kawan-kawan yang tidak henti beri semangat. Saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Yuga merupakan anak kedua daripada empat adik beradik, yang mana hanya kakak beliau sudah mula bekerja.
Ayahnnya sudah menjadi pemandu sejak 30 tahun lalu manakala ibu pula suri rumah sepenuh masa.
Hari ini merupakan kali kedua MIU mengadakan majlis konvokesyen yang meraikan 270 para graduan bagi kampus Malaysia di Hotel JW Marriot.
Tambah Yuga, dirinya juga amat berterima kasih kerana mendapat latihan serta tunjuk ajar yang amat berguna ketika menjalani latihan industri di MalaysiaGazette selama empat bulan.
“Saya belajar terlalu banyak. Saya diberikan peluang dan pendedahan yang sangat besar. Saya berpeluang membuat liputan untuk berita nasional, politik, jenayah, mahkamah, hiburan dan luar negara.
“Semua yang berada di MalaysiaGazette telah banyak menunjuk ajar, selain memberi saya keyakinan untuk membuat liputan sendiri sendiri dan menghasilkan berita-berita.
“Saya belajar menulis dari tempat ini, jika diberikan peluang saya akan kembali ke sini lagi,” ujarnya. –MalaysiaGazette