KOTA KINABALU – Kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah tidak akan menyekat kebebasan wartawan arus perdana dalam melaporkan berita secara telus.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, wartawan tidak seharusnya terbatas dalam menghasilkan laporan berita yang hanya selari dengan hasrat kerajaan hari ini.
“Bagi saya, penting untuk media memainkan peranan dalam memberikan pandangan seimbang tentang dasar kerajaan, keperluan pembangunan untuk rakyat dan kebimbangan mereka.
“Maklum balas ini, kritikan membina, artikel analisis yang mencerminkan aspirasi Sabah dan rakyatnya akan dihargai oleh kerajaan saya,” katanya pada Kinabalu Shell Press Awards 2018 di sini malam tadi.
Bagaimanapun, Mohd Shafie mengingatkan pengamal media supaya bertanggungjawab dalam menghasilkan berita dan tidak memutarbelitkan berita yang akan mewujudkan situasi yang mana pembaca kehilangan fakta tepat.
“Apabila orang ramai tidak lagi mempercayai media arus perdana, mereka akan berhenti membeli akhbar.
“Akhirnya, anda (wartawan) yang akan rugi. Anda harus berhadapan dengan ketua anda sekiranya artikel anda diedit luar daripada konteks,” katanya.
Mohd Shafie berkata beliau bersedia untuk mempertimbangkan perbincangan mengenai kemungkinan menubuhkan Majlis Media Sabah, yang dicadangkan oleh Presiden Persatuan Wartawan Sabah Muguntan Vanar, untuk memastikan media dapat terus memainkan peranannya secara adil dalam masyarakat.
Bagaimanapun, ketua menteri berkata bentuk kawalan media yang terbaik ialah pengawalseliaan sendiri.
“Sebagai seorang bekas Timbalan Menteri Penerangan, saya telah banyak berurusan dengan dasar media, saya tahu pembentukan mana-mana majlis akan membawa kepada kawalan langsung atau tidak langsung. Secara peribadinya, saya rasakan yang terbaik untuk wartawan Sabah adalah dibimbing oleh pengawalseliaan sendiri,” katanya.
Mohd Shafie turut bersetuju dengan Muguntan dalam ucapan alu-aluannya bahawa isu media di Sabah jauh berbeza daripada media di Semenanjung Malaysia dan sekiranya perlu, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan majlis media untuk menyelia isu di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia Datuk Lain Lo berkata tahun ini adalah tahun terakhir anugerah kewartawanan itu menggunakan nama Shell kerana bermula tahun hadapan, ia akan dikenali sebagai Kinabalu Press Awards.
“(Tetapi) ia tidak bermakna Shell akan berhenti menyokong anugerah kewartawanan ini. Ia hanya bermaksud kami akan lebih inklusif dan membawa masuk syarikat lain, saya harap dapat mengukuhkan hubungan dan kepentingan anugerah ini di luar industri minyak dan gas,” katanya. – MalaysiaGazette