LONDON – Pemain Barcelona, Ousmane Dembele dilaporkan mahu meninggalkan Camp Nou pada Januari depan selepas berdepan masalah disiplin.
Goal.com mendakwa, pemain antarabangsa Perancis itu kerap datang lambat ke sesi latihan dan kelab La Liga itu bimbang dengan ketagihan bermain permainan video.
Bagaimanapun ejen Dembele, Moussa Sissoko menafikan dakwaan pemain itu digugurkan ketika aksi menentang Real Betis kerana melanggar undang-undang kelab.
“Semua spekulasi adalah kelakar dan ia sudah bermula dengan kelewatan dalam satu mesyuarat sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang Inter.
“Saya amat terkejut kerana media boleh melaporkan maklumat ini kerana Dembele sebenarnya tidak datang lewat. Jurulatihnya telah memberitahu dia tidak diturunkan bukan kerana lambat,” katanya
Barcelona menjual Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan rekod perpindahan dunia bernilai 222 juta euro pada Ogos tahun lalu tetapi berminat untuk mendapatkan kembali bintang Brazil itu.
Arsenal dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Dembele dan sekali lagi bertanya kepada Barcelona mengenai pemain itu.
Pengurus Liverpool Jurgen Klopp juga tertarik terhadap pemain berusia 21 tahun itu.
Barcelona sedia menjual bekas pemain Borussia Dortmund itu bagi mengumpul dana untuk membawa masuk semula Neymar ke Camp Nou. – MalaysiaGazette