Home Nasional Perkeso disaran perkukuh inovasi

Perkeso disaran perkukuh inovasi

Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disaran mengukuhkan inovasi secara berterusan bagi meningkatkan budaya tersebut dalam kalangan warganya.

Menteri Sumber Manusa, M. Kula Segaran berkata, inovasi yang dihasilkan itu bukan sekadar bertujuan untuk menyertai pertandingan atau mendapat pengiktirafan semata-mata.

“Saya menggesa kakitangan Perkeso agar berusaha secara intensif dalam menjana idea kreatif untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Pada masa sama, usaha itu mampu menjadi model kejayaan kepada agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Perkeso 2018 kali ke-18 dan melancarkan logo baharu Kualiti dan Inovasi Perkeso di sini malam tadi.

Kula Segaran berkata, inovasi kini menjadi petanda aras baharu global dan memerlukan kemampuan penciptaan yang bukan lagi menjadi perkara baharu.

Katanya, inovasi semakin menjadi unik dan berfaedah sebagai peranan penting kepada rakyat.

“Penyampaian perkhidmatan bukan hanya dilihat dalam bentuk fizikal namun nilai yang dibawa bagi memastikan semua projek, inisiatif dan bantuan yang dirancang sampai kepada masyarakat.

“Pemerkasaan perkhidmatan awam perlu memberi fokus termasuk penglibatan komuniti dan budaya kerja dari segi kecemerlangan perkhidmatan dan mempunyai nilai mulia yang membawa kepada integriti organisasi,” katanya.

Pada masa sama, M. Kula Segaran memberitahu Malaysia telah menduduki tangga kelapan di Asia dan 37 daripada 127 negara dalam Laporan Indeks Inovasi Global 2017. – MalaysiaGazette