Home Sukan Ronaldinho diburu polis, kereta mewah dirampas

Ronaldinho diburu polis, kereta mewah dirampas

Ronaldinho.

LONDON – Pemain legenda Brazil, Ronaldinho kini berdepan masalah kewangan yang meruncing.

Beliau dikatakan hanya memiliki wang sebanyak lima pound sterling di dalam akaun bank miliknya.

Mirror.uk.com melaporkan, situasi itu memaksa pihak berkuasa  merampas tiga kereta mewah dan sebuah lukisan miliknya sebagai jaminan kepada hukuman dendanya.

Bekas pemain Barcelona berusia 38 tahun dan abangnya, Assis Moreira kini diburu polis berhubung denda yang dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, sebuah kereta jenis BMW dan Mercedes serta sebuah lukisan oleh Andre Berardo dirampas dari kediaman keluarga Ronaldinho di bandar Porto Alegre, Brazil.

Rampasan dilakukan oleh pihak Pendakwa Keadilan dan Pertahanan Alam Sekitar Brazil sebagai jaminan kepada pembayaran denda yang dikenakan di atas kerosakan alam sekitar disebabkan kerja-kerja pembinaan Institut Ronaldinho Gaucho.

Menurut Kementerian Awam Brazil, badan amal membantu kanak-kanak dan remaja milik Ronaldinho itu didapati melanggar undang-undang alam sekitar oleh Mahkamah Keadilan Rio Grande do Sul pada tahun 2013.

Badan amal itu didapati menebang pokok hutan dan membuat kerja perparitan serta pergerakan tanah secara haram.

Menurut Kementerian Awam, Ronaldinho menandatangani perjanjian untuk membayar kerja baik pulih kerosakan tetapi kerja tersebut tidak pernah dilakukan. – MalaysiaGazette