Suasana kecoh sehingga hampir tercetus rusuhan di perkarangan kuil Sri Maha Mariamman kira-kira pukul 1 tengah hari tadi apabila orang ramai cuba menghalang kenderaan polis yang mahu membawa keluar seorang suspek kejadian membakar kenderaan di kuil itu.
Suspek yang berdarah pada bahagian muka dibawa oleh polis sambil dikerumuni orang ramai yang berada di kawasan tersebut sejak awal pagi. Rata-rata mereka berteriak menghalang polis membawa keluar suspek bagaimanapun keadaan dapat dikawal apabila pasukan Polis Simpanan Perekutuan (FRU) bergegas memastikan suasana terkawal.
Satu kebakaran kecil juga berlaku di kawasan tersebut dan dua kenderaan bomba digerakkan ke situ untuk memastikan kebakaran tidak merebak.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati lebih 10 kenderaan dibakar dan dirosakkan awal pagi tadi. Siasatan forensik oleh pihak bomba sedang giat dijalankan.
MalaysiaGazette difahamkan pihak kuil sedang berunding selepas pergaduhan antara dua kumpulan tercetus akibat provokasi pihak tertentu berkaitan perpindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman.
Klip video kekecohan itu viral dalam media sosial sejak awal pagi ini.