Home Ekonomi TM kerugian, polisi dividen disemak

TM kerugian, polisi dividen disemak

Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad  (TM) merekodkan kerugian sebelum faedah dan cukai (LBIT) RM631.8 juta pada suku ketiga 2018 berikutan susut nilai aset-aset rangkaian wayarles dan tetapnya.

Meskipun begitu, TM berkata, prestasi operasi syarikat itu stabil dalam keputusan kewangan suku ketiga yang berakhir 30 September lalu meskipun persekitaran mencabar.

TM mencatatkan hasil sebanyak RM2.95 bilion bagi suku ketiga tahun ini, 0.3 peratus lebih tinggi daripada RM2.94 bilion pada suku yang sebelum ini berikutan hasil data serta perkhidmatan lain berkaitan telekomunikasi yang lebih tinggi.

Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) meningkat 11.3 peratus kepada RM941.4 juta berbanding RM845.9 juta pada suku sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh kos operasi yang lebih rendah. EBITDA Dinormalisasi, tidak termasuk perkara-perkara bukan operasi, naik 13.1 peratus kepada RM930.9 juta.

TM juga mencatatkan Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (LATAMI) berjumlah RM175.6 juta berbanding RM102.0 juta Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) pada suku sebelumnya. keuntungan bersih teras TM atau PATAMI Dinormalisasi, tidak termasuk perkara-perkara bukan operasi, adalah sebanyak
RM266.4 juta, peningkatan sebanyak 71.0 peratus berbanding suku sebelum ini.

Tidak termasuk susut nilai yang dilaporkan serta perkara-perkara bukan operasi yang lain, Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) Dinormalisasi Kumpulan berjumlah RM315.6 juta bagi suku ketiga 2018, peningkatan sebanyak 39.4 peratus berbanding EBIT Dinormalisasi berjumlah RM226.4 juta pada suku kedua tahun ini.

Jumlah perbelanjaan pelaburan modal bagi sembilan bulan pertama 2018 adalah RM1.32 bilion, atau 15.1 peratus daripada hasil.

Imri Mokhtar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkata, syarikat berdepan pelbagai cabaran daripada dinamik pasaran yang berdaya saing.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan hasil sepanjang suku ini, dan menyaksikan inisiatif-inisiatif mengurangkan kos berjaya memberikan hasil, dengan mencatatkan prestasi operasi yang lebih baik bagi suku ke suku dan tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, nilai aset-aset rangkaian TM mengalami kerugian susut nilai hampir RM1 bilion pada suku ini.

Imri menambah, pada masa ini TM mempunyai 2.29 juta pelanggan jalur lebar dan jumlah pelanggan unifi kami terus meningkat kepada 1.26 juta setakat akhir suku ketiga berbanding 1.06 juta pada akhir suku yang sama tahun lalu.

Dari sudut konvergens, semakin ramai pelanggan beralih ke tahap rantaian nilai lebih tinggi dengan melanggan lebih daripada perkhidmatan tiga serangkai, seperti yang ditunjukkan oleh tahap penembusan konvergens TM yang kini 48 peratus daripada isi rumah TM berbanding 39 peratus pada tempoh sama tahun lalu,” tambah beliau.

TM turut mengumumkan pindaan polisi dividen dengan mengagihkan dividen tahunan sebanyak 40 hingga 60 peratus daripada PATAMI.

Dividen akan dibayar berdasarkan kepada prestasi keseluruhan perniagaan dan perolehan, komitmen modal, kedudukan kewangan, simpanan yang boleh diagih dan faktor-faktor lain yang relevan. Polisi dividen ini akan berkuatkuasa daripada pengumuman dividen yang berikutnya.- MalaysiaGazette