KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan tarif air baharu kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Datuk Seri Najib Razak menjangkakan kenaikan tarif air akan berlaku selepas kerajaan Selangor membeli Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash Holdings) dengan harga 10 ganda lebih tinggi dari harga tawaran asal.
Katanya, dengan pembelian yang tinggi itu sudah tentu akan menjejaskan pemberian air percuma di Selangor.
Splash dibeli dengan harga RM2.55 bilion berbanding harga RM250 juta yang ditawarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Amaran saya menjadi realiti selepas MB Selangor yang baru mengumumkan pemansuhan air percuma untuk semua bermula tahun depan di DUN Selangor minggu lepas
“Tarif air baru SYABAS untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga akan diumumkan tidak lama lagi dan tidak mustahil jika ada kenaikkan,” katanya sambil berkata, antara pemegang saham terbesar di dalam Splash ialah ahli korporat yang rapat dengan Pakatan Harapan.
Jelas Najib, kerajaan Barisan Nasional dahulu tidak meluluskan pembelian Splash dengan harga tinggi ini tetapi selepas Pakatan Harapan menang kerajaan pusat, mereka luluskannya dengan serta-merta. – MalaysiaGazette