Home Utama Waytha Moorthy dakwa polis sambil lewa tangani rusuhan di kuil

Waytha Moorthy dakwa polis sambil lewa tangani rusuhan di kuil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Yb Senator Waytha Moorthy bercakap semasa sidang media mengenai nsiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman selepas Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tindakan sambil lewa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tidak begitu fokus dalam insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman Seafield USJ 25 awal pagi tadi sangat mengecewakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mendakwa hanya sebuah kereta peronda polis dihantar pada jam 4.30 pagi dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pula tiba jam 6 pagi yang akhirnya menyebabkan keadaan sudah tidak terkawal.

Beliau yang menjadi jurucakap kepada menteri-menteri serta ahli Parlimen berbangsa India berkata, apa yang lebih dikesalkan apabila pasukan polis Subang Jaya mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan keadaan tegang.

“Kenyataan daripada polis Subang Jaya yang mengatakan ‘pergaduhan antara dua kumpulan bangsa India telah berlaku di dalam kawasan kuil Sri Maha Mariamman. Punca kejadian adalah perselisihan faham antara dua kumpulan tentang isu perpindahan kuil’.

“Kenyataan ini sebenarnya salah dan langsung tidak bertanggungjawab. Ini sebenarnya telah menyebabkan ketegangan dalam kalangan masyarakat India apatah lagi dengan sikap acuh tidak acuh pasukan Subang Jaya.

“Kita menggesa Ketua Polis Negara untuk membetulkan kenyataan itu dengan memberikan fakta yang betul. Pihak berwajib di balai polis Subang Jaya juga perlu disiasat berikutan insiden ini.

“Pihak polis juga digesa untuk menyiasat inisden ini dengan lebih komited dan fokus, cari siapakah dalang sebenar dan bawanya ke muka pengadilan. Perkara ini tidak seharusnya dipandang dengan ringan begitu sahaja,” katanya dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Yang turut berada dalam sidang media termasuk Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli; Dr. Xavier Jayakumar; dan Timbalan Menteri Luar Bandar, Sivarasa Rasia.

Tambah Waytha, pihaknya memohon PDRM untuk mempertimbangkan agar insiden rusuhan ini diserahkan kepada pasukan di Bukit Aman berikutan rasa tidak puas hati cara ianya ditangani oleh pasukan Subang Jaya. –MalaysiaGazette