Home Nasional Fahami isu sebenar di sebalik insiden – Hadi

Fahami isu sebenar di sebalik insiden – Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan isu perpaduan dan keharmonian rakyat.

Menurut beliau, hak beragama semua rakyat di negara ini perlu dihormati mengikut lunas undang-undang sedia ada yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak pemaju perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama. Sebarang unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti di kalangan rakyat perlu ditangani dengan pantas oleh pihak berwajib, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang telah dipilih.

“Pas berkeyakinan bahawa pihak PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor mampu menangani isu ini dengan baik mengikut lunas undang-undang, demi mengembalikan ketenteraman awam di lokasi terbabit dan juga di seluruh negara amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pas menyeru agar semua pihak yang terlibat dengan isu ini agar bertentangan dan tidak menggunakan emosi dalam membuat pertimbangan.

“Pas menyeru semua pihak agar bertenang dan memahami isu sebenar, di sebalik insiden yang tidak diingini ini serta tidak mencetuskan sentimen agama dan perkauman yang tidak sihat di kalangan masyarakat awam,” katanya lagi.

Isu berhubung rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya semakin meruncing apabila seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dilaporkan cedera parah apabila diserang perusuh.

Anggota terbabit kini menerima rawatan di Unit Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman. -MalaysiaGazette