WASHIGTON – Negara- negara lain perlu mengenakan sekatan ke atas China yang menahan etnik Uighur di wilayah Xinjiang barat, kata beratus-ratus pelajar sambil memberi amaran kegagalan melakukannya akan memberi isyarat penerimaan ‘penderaan psikologi terhadap orang awam yang tidak berdosa’.
Sejak beberapa bulan lalu Beijing berhadapan bantahan daripada aktivis, ahli akademi dan kerajaan asing berikutan penahanan secara beramai-ramai dan pemantauan ke atas kaum minoriti Islam dan kumpulan etnik lain yang menetap di Xinjiang.
Pada Ogos lalu, panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menerima banyak laporan tentang sejuta atau lebih etnik Uighur dan kaum minoriti lain ditahan di tempat yang menyerupai ‘kem pengurungan besar rahsia’ di wilayah itu.
Pada sidang media di Washington, wakil sebuah kumpulan pelajar yang terdiri daripada 278 orang daripada pelbagai negara menggesa China menamatkan polisi penahanan dan melaksanakan sekatan ke atas pemimpin utama China dan syarikat-syarikat keselamatan yang mempunyai hubungan dengan penderaan itu, lapor Reuters.
“Keadaan ini perlu diutarakan bagi mengelak aliran negartif pada masa depan berikutan penerimaan penindasan dalam segmen populasinya, khususnya pada etnik dan agama,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Negara-negara lain perlu melancarkan permohonan suaka untuk kaum minoriti Islam Xinjiang dan ‘mengetuai pergerakan untuk tindakan PBB yang bertujuan menyiasat sistem penahanan secara besar-besaran dan menutup kem itu’, katanya.
China menolak kritikan bahawa tindakannya di Xinjiang itu dan berkata bahawa ia melindungi agama dan kebudayaan kaum minoriti dan langkah keselamatan yang diambil perlu bagi meyakinkan kumpulan-kumpulan ‘ekstremis’ yang menghasut untuk melakukan keganasan.
Bagaimanapun selepas penafian awal mengenai kem tahanan itu, para pegawai China berkata, beberapa orang didapati bersalah kerana melakukan kesalahan kecil dan dihantar ke pusat latihan ‘vokasional’ di mana mereka diajar tentang kemahiran dan pengetahuan undang-undang yang bertujuan menghalang militan. – Agensi