Home Nasional Kuil kembali tenang

Kuil kembali tenang

kuil

SUBANG JAYA – Kurang 24 jam selepas rusuhan kali kedua di Kuil Sri Maha Maraimman, di sini, suasana kuil ratusan tahun itu kini kembali tenang.

Tinjauan MalaysiaGazette pagi ini mendapati pihak polis bantuan Litrak membawa keluar dua kenderaan yang terbakar di tengah-tengah laluan Persiaran Kewajipan dengan lori penunda.

Turut kelihatan pekerja-pekerja pembersihan Litrak sedang membersihkan sisa-sisa kenderaan yang terbakar dan pelbagai sampah-sarap yang ditinggalkan peserta demostrasi awal pagi tadi.

Ketika ini juga lalu lintas di Persiaran Kewajipan sesak terus akibat penutupan sementara laluan yang terlibat dalam pembersihan ini.

Rusuhan kedua yang berlaku sejak malam semalam dan berlarutan awal pagi ini telah mengakibatkan tiga kenderaan musnah dalam satu kebakaran.

Kejadian rusuhan itu juga menjadikan jumlah kenderaan yang dibakar sejak awal pagi Ahad sebanyak 21 buah.

Selain itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar luar kuil berusia 140 tahun ini mendapati botol dan tin minuman keras bersepah di bahu jalan Persiaran Kewajipan, di sini.

Kejadian di luar kawalan sejak awal pagi tadi dipercayai bukan sahaja kerana kemarahan tentang isu pemindahan kuil berkenaan bahkan di bawah pengaruh minuman keras. – MalaysiaGazette