Home Nasional Kuil mahu PM campur tangan

Kuil mahu PM campur tangan

Regu
Ahli Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Regu bercakap pada sidang media berkaitan insiden yang terjadi di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa campur tangan dalam kemelut pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman hingga menimbulkan dua siri rusuhan sejak Ahad lalu.

Setiausaha Jawatankuasa Badan Bertindak Seafield Sri Maha Mariamman, V. K. Regu berkata, pihaknya sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin lain yang gagal menyelesaikan isu ini sejak 20 tahun lalu.

“Kita tak perlu duduk dengan Perdana Menteri cuma cari penyelesaian terbaik

“Kalau kita boleh berbincang dengan Perdana Menteri sebelum ini, perkara ini (rusuhan) tidak akan berlaku.

“Perdana Menteri kena ambil keputusan baik dan bijak untuk selesaikan masalah ini,” katanya pada sidang media di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Putra Heights, di sini, hari ini.

Regu berkata, rundingan pihaknya dengan dua Menteri Besar sebelum ini turut menemui jalan buntu.

“Perkara ini sudah berlarutan dekat 20 tahun, satu orang pun tak layak ambil keputusan.

“Menteri Besar tak boleh buat keputusan, menteri besar sebelum ini pun sama, Azmin Ali tipu kami.

“Sudah jumpa tapi dia tak boleh buat keputusan. Kita mahu pemimpin yang boleh buat keputusan.

“Kalau Perdana Menteri dalam kerajaan ini (Pakatan Harapan) boleh buat keputusan, biar dia buat keputusan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette