Home Nasional Tun M hargai sumbangan ahli akademik

Tun M hargai sumbangan ahli akademik

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Anugerah Akademik Negara Ke-12 di Hotel Marriot, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Seramai tujuh ahli akademik mendapat pengiktirafan berprestij dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) kali ke-12 dalam sebuah majlis di sini malam ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut merakamkan penghargaan tidak terhingga semua ahli akademik yang telah memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan negara.

“Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak mungkin dapat membangunkan generasi berilmu yang cemerlang sekali gus menjadi insan yang seimbang untuk pembangunan dan kemajuan negara.

“Kita sememangnya sentiasa mengenang sumbangan dan bakti ahli-ahli akademik kerana mereka ibarat cahaya yang menyuluh kegelapan, memandu kehidupan dengan ilmu dan kebenaran,” katanya ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Mahathir dalam masa yang sama berkata, walaupun sering menjadi sasaran kritikan, kerajaan masih berbangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh institusi pendidikan tinggi dan ahli akademik tempatan.

“Pencapaian-pencapaian ini menyumbang kepada strategi untuk meletak pendidikan negara di peringkat antarabangsa,” ucapnya.

AAN merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan memberi pengiktirafan tertinggi kepada ahli-ahli akademik kerana kecemerlangan serta sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

AAN juga adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.

Dalam pada itu, Maszlee pula memberitahu, AAN adalah manifestasi kepada komitmen Kementerian untuk menzahirkan Lonjakan 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

“Penerima-penerima anugerah malam ini akan diangkat sebagai ikon kepada ahli akademik yang lain, selain menjadi role model kepada ahli-ahli akademik yang baharu.

“Ahli-ahli akademik yang cemerlang akan membantu negara untuk menghasilkan graduan yang cemerlang dan seterusnya berjaya melahirkan universiti bertaraf dunia,” ujarnya.

Tambah Maszlee, pengiktirafan seperti itu akan memberikan semangat kepada ahli akademik untuk terus berkarya dengan menghasilkan penulisan, penerbitan yang berkualiti.

“Hasil penyelidikan yang mempunyai nilai komersial tinggi dan karya seni yang terbaik. Semoga ini terus memberikan semangat luar biasa kepada mereka,” katanya.

Sebanyak tujuh kategori yang dipertandingan termasuk Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Akademik Harapan.

MGF27112018_ANUGERAH AKADEMIK09
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram (dua kanan) pada Anugerah Akademik Negara Ke-12 di Hotel Marriot, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2018

Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tokoh Akademik Negara yang juga menerima hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.

Enam penerima kategori lain pula menerima wang tunai RM50,000 serta trofi dan sijil. -MalaysiaGazette