Home Ekonomi Draf pertama rangka kerja pendanaan awam hartanah siap

Draf pertama rangka kerja pendanaan awam hartanah siap

Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menyiapkan draf pertama rangka kerja instrumen pendanaan awam hartanah (property crowdfunding)

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, SC kini akan melibatkan diri dengan penggerak industri dan pihak berkepentingan dalam mendapatkan maklum balas.

“Kami mahu mendapatkan pandangan semua pihak. Dari situ, kami akan bergerak ke hadapan.

“Kami juga berharap dapat mengeluarkan rangka kerja itu pada suku pertama 2019,” kata pada sidang media Persidangan Fintech 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Syed Zaid menambah SC mahu memastikan pelabur dilindungi iaitu dalam kes tersebut adalah pembeli rumah.

Beliau berkata, SC menyokong idea-idea inovatif yang memanfaatkan kemampuan transformasi teknologi untuk mendemokrasikan pelaburan, dalam memberi lebih banyak pilihan bagi pembiayaan kepada rakyat Malaysia untuk membeli rumah pertama mereka dan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi mereka.

Jelas beliau, rangka kerja itu akan mengimbangi penggalakan inovasi dengan memastikan keselamatan yang sewajarnya untuk melindungi integriti skim tersebut dan kepentingan pelabur.

“Untuk memastikan tadbir urus yang wajar bagi skim pembiayaan pemilikan rumah alternatif ini, pengendali platform dikehendaki berdaftar dengan SC dan memenuhi syarat-syarat kelayakan, ketelusan dan kewangan.

“Sebagai sebahagian daripada proses kami, SC akan melibatkan pihak berkepentingan yang berkaitan melalui rundingan industri sebelum mengeluarkan peraturan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette