Home Nasional Rusuhan kuil: Polis tahan 30 individu

Rusuhan kuil: Polis tahan 30 individu

SUBANG – Polis menahan seramai 30 orang individu bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan terbaru dilakukan pada tengah hari tadi  melibatkan sembilan individu dipercayai mempunyai kaitan  dengan kes itu.

“Polis akan melakukan permohonan reman terhadap sembilan individu terlibat untuk mengambil keterangan mereka berhubung kes itu,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sebelum ini, polis telah menahan seramai 21 individu yang dipercayai terlibat dalam insiden kekecohan yang berlaku di kuil berkenaan pada Isnin lalu.

Mengulas mengenai dakwaan Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman berhubung kecederaan dialami anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian itu, Mazlan berkata, pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung kes itu.

Beliau berkata, langkah itu adalah bertujuan bagi membolehkan polis merakamkan percakapan pihak berkenaan untuk dimasukkan ke dalam kertas siasatan.

Mazlan dalam pada itu memaklumkan  lebih kurang 500 anggota polis ditempatkan di kuil itu untuk mengawal keselamatan.-MalaysiaGazette