KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berada di lokasi rusuhan di Kuil Maha Mariammam, USJ 25 memberitahu dia terpaksa masuk semula dalam jentera bomba sebelum sempat mengeluarkan gelung hos.
Mohd. Hazim Mohd. Rahimi berkata, ini kerana ketika itu dia diserang perusuh secara tiba-tiba yang membuatkan dirinya menjadi panik.
Dia yang merupakan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya terpaksa memikirkan keselamatan diri walaupun tugas hakikinya menyelamat orang ramai.
“Sebaik sampai, saya terus menuju ke almari yang menyimpan sistem alat bantu mula (gelung hos) yang terletak di sebelah kiri jentera bomba kerana kejadian kebakaran berlaku di sebelah kiri jentera.
“Namun belum sempat saya keluarkannya, perusuh datang menyerang dan saya terpaksa mengambil tindakan pantas kerana memikirkan nyawa saya ketika itu.
“Selepas itu, saya masuk semula ke dalam jentera bomba dan tidak tahu apa yang terjadi di luar,” katanya pada sidang media di Institut Jantung Negara petang tadi.
Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Mohd. Hazim sebelum itu diminta menjelaskan kejadian rusuhan itu selepas rakaman video tular yang menyangka Muhammad Adib berada di belakang jentera bomba adalah dirinya.
Ini bagi menjawab dakwaan Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman bahawa Muhammad Adib yang parah dalam insiden itu disebabkan kemalangan jalan raya.
Setiausaha Badan Bertindak kuil itu, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku apabila jentera JBPM mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memaklumkan ada individu di belakang jentera berkenaan. – MalaysiaGazette