Home Nasional Waytha buatlah kerja perpaduan, bukan sebaliknya – PPIM

Waytha buatlah kerja perpaduan, bukan sebaliknya – PPIM

PPIM
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan lebih baik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga perpaduan bukan sebaliknya.

Menurut ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, Waytha perlu lebih fokus dalam memastikan perpaduan di negara ini berada ditahap optimum dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman dekat Subang Jaya baru-baru ini.

“Kita harapkan perpaduan dapat dikekalkan dan peranan mereka yang dipertanggungjawabkan contohnya menteri perpaduan buat kerja perpaduan bukan buat kerja sebaliknya.

“Sebagai menteri, dia jaga semua kaum bukan kaum India sahaja, jadi kita hendak semua ini dilakukan dengan baik. Kita tidak mahu ada suara sumbang daripada mereka yang berpengaruh yang buat kenyataan dan boleh bangkitkan isu perkauman,” katanya dalam sidang media di Kondominium Villa Puteri hari ini.

Malah Nadzim tidak nampak wujudnya satu dasar yang dirancang oleh kementerian itu setelah enam bulan dipertanggungjawabkan memegang jawatan itu.

“Kita minta menteri untuk mewujudkan dasar perpaduan dan program perpaduan yang dapat mengubah sentimen perkauman.

“Program perpaduan kita selama ini tidak berkesan. Jadi kita kena perbetulkan balik supaya program ini ada dan perlihat kesungguhan kita.

“Dulu, isu perpaduan kita lihat sebagai perkara yang penting sejak 13 Mei. Tapi sekarang sudah semakin mati, jadi kita harap Waytha Moorthy keluar dengan dasar-dasar kuat dan nafikan kata-kata masyarakat bahawa dia pamer isu perkauman dan buat sesuatu yang baik,” katanya lagi.

Semalam, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mempersoalkan kredibiliti Waytha sebagai Menteri Perpaduan kerana dilihat gagal melindungi perpaduan dalam negara.

Menurut Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad dilihat mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang menteri dan langsung tidak mengambil peduli mengenai insiden kekecohan itu.

“MPM menyalahkan Waytha Moorthy yang terlalu sibuk melakukan pembohongan di luar negara sehingga gagal menjalankan tugas sebagai menteri perpaduan.

“Terserlah dengan begitu jelas siapa beliau ini dan kegagalannya menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya sehingga menyebabkan seorang anggota bomba dipukul dengan kejam oleh perusuh,” katanya memetik laporan sebuah portal. -MalaysiaGazette