KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi dan meneruskan momentum meningkatnya pagi ini disokong oleh minat belian dalam kebanyakan saham mewah diterajui oleh Maybank, kata para peniaga.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.54 mata kepada 1,698.09 berbanding paras penutup 1,686.55 pada Rabu.
Indeks itu dibuka 8.30 mata lebih tinggi kepada 1,694.85.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 185 berbanding 73, dengan 122 tidak berubah, 1,541 kaunter tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 89.64 juta unit bernilai RM55.90 juta.
Public Investment Bank Bhd berkata prestasi pasaran saham tempatan itu adalah seiring dengan penutupan positif di Wall Street semalaman yang menyaksikan indeks saham S&P 500 ditutup 2.3 peratus lebih tinggi manakala Dow Jones Industrial Average naik 2.5 peratus dan Nasdaq Composite meningkat hampir tiga peratus.
Prestasi bulis ini dicatatkan selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) membayangkan kenaikan kadar faedah neutral tahun depan.
Sementara itu di Bursa Malaysia, bank pelaburan itu berkata, meskipun masih dalam aliran menurun, kecenderungan bagi FBM KLCI untuk meningkat dalam tempoh terdekat ini telah menyederhana dan indeks itu bergelut untuk kekal di atas paras 1,680 mata bagi tempoh dagangan berbaki minggu ini.
“Bagaimanapun, sekiranya minat belian muncul semula untuk meningkatkan indeks di atas paras 1,720 mata dalam tempoh terdekat ini, terdapat kemungkinan ia akan pulih.
“Paras sokongan bagi indeks itu adalah pada 1,622, 1,664 dan 1,680, manakala paras ketahanan dilihat pada 1,700, 1,720 dan 1,735,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM9.48, Public Bank turun dua sen kepada RM24.86, Tenaga susut empat sen kepada RM14.22, Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM9.30 dan CIMB menokok enam sen kepada RM5.81.
IHH Healthcare merupakan kaunter paling untung pagi ini, meningkat 51 sen kepada RM5.76 selepas Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengumumkan ia menjual 16 peratus pegangan dalam IHH kepada Mitsui & Co Ltd dari Jepun dengan harga RM8.42 bilion.
Susulan penjualan itu, pemegangan saham Khazanah dalam IHH akan berkurangan kepada 26.05 peratus.
Dalam kalangan kaunter cergas, Nova MSC susut setengah sen kepada 13.5 sen, BCM Alliance turun dua sen kepada 19.5 sen dan Genting Malaysia tidak berubah pada RM3.00.
Indeks FBM Emas Shariah melonjak 100.17 mata kepada 11,819.47, FBM 70 naik 79.37 mata kepada 13,788.94 tetapi FBM Ace Index berkurangan 2.60 mata kepada 4,886.57.
Indeks FBM Emas naik 75.41 mata kepada 11,761.83 dan Indeks FBMT 100 meningkat 76.15 mata kepada 11,624.42.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 28.37 mata kepada 6,974.45, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 172.29 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 70.97 mata kepada 17,457.15. – MalaysiaGazette