KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan kempen memberi sokongan kepada pasukan hoki kebangsaan yang dijadualkan beradu kekuatan di Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India mulai semalam.
Kempen sokongan melalui platform digital itu, dinamakan Hokita (Hoki Kita).
Ia mengajak rakyat Malaysia mengikuti perkembangan pasukan negara yang merupakan antara 16 pasukan yang layak ke Piala Dunia.
Peminat hoki boleh mengikuti kempen 19 hari Piala Dunia itu melalui platform media sosial Facebook, Twitter, Instagram dan laman web mikro, https://hokita.my.
Facebook.com/HokitaMY memaparkan berita ringkas, keputusan perlawanan, galeri foto dan hub video penuh; twitter.com/HokitaMY pula membawakan maklumat terkini (real time updates), breaking news, klip pendek dan video teaser di samping instagram.com/HokitaMY yang menawarkan pelbagai video klip dan cerita hoki.
Para peminat hoki turut berpeluang mengikuti temu bual dengan pemain, komen para pengurus dan jurulatih serta penonton di Bhubaneswar, malah boleh memberi ulasan dan pandangan serta menyatakan sokongan masing-masing.
“Ini adalah antara cara kita memberikan sokongan kepada pasukan negara. Kita ingin memberitahu kepada pemain dan keluarga mereka, bahawa rakyat Malaysia sentiasa di belakang mereka.
“Kita pernah muncul antara empat pasukan terbaik dunia, dan pasukan kita sentiasa berada dalam kelompok 15 pasukan terbaik dunia.
“Pasukan ini perlukan sokongan rakyat negara ini seperti dinikmati sukan lain,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pasukan negara yang diperkuatkan oleh sembilan pemain dari TNB, berada dalam Kumpulan D yang dianggap ‘maut’ melibatkan Belanda dan Jerman yang masing-masing ranking ke-4 dan ke-6 dunia manakala Pakistan di kedudukan ke-13.
TNB berharap dapat memeriahkan arena hoki tanah air, yang sering terpinggir sedangkan pasukan kebangsaan sentiasa setanding dengan pasukan terbaik dunia dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.
“Sesungguhnya, pasukan hoki negara berhak mendapat sokongan rakyat Malaysia dengan semangat juang melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kelapan melalui pencapaian empat pasukan terbaik di Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.
“TNB sentiasa sinonim dengan pembangunan sukan hoki negara sejak era tujuh puluhan lagi.
Sumbangan TNB antara lain adalah mengasah bakat pemain di peringkat sekolah dan remaja, serta menaja program hoki kebangsaan melalui penajaan RM20 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia untuk tempoh lima tahun berakhir 2019.- MalaysiaGazette