Home Nasional Kuil: Keputusan menggembirakan dijangka diumum hari ini

Kuil: Keputusan menggembirakan dijangka diumum hari ini

kuil
Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir lebih 11 tahun berjuang bermati-matian dalam memastikan kuil Sri Mariamman Seafields tidak d pindah ke tempat lain, mungkin keputusan yang menggembirakan keseluruhan masyarakat India diumumkan hari ini. 

Sumber memeritahu MalaysiaGazette, dipercayai persetujuan telah dicapai supaya tanah  itu diserahkan kepada kerajaan negeri sebelum diberikan kembali kepada kuil.

Sama ada tanah tersebut akan diberikan terus atau ‘disewakan’ untuk tempoh tertentu, ianya akan di umumkan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari juga pada hari ini di Dewan Annexe Negeri Selangor jam 1 petang.

Pengambil alihan tanah itu oleh kerajaan negeri akan memberi peluang kepada kuil itu untuk terus kekal di situ selepas ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri P. Waytha Moorthy dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran mencari alternatif terbaik bagi memastikan keadaan ketegangan ini tidak terus berpanjangan.

Mengekalkan kuil di tempat asal bagi menghormati sentimen masyarakat Hindu yang amat tertekan dengan hasrat pemaju yang mahu membangunkan kawasan kuil yang disifatkan suci. 

Kos pampasan belum diketahui jumlahnya di jangka akan ditanggung oleh kerajaan persekutuan yang akan di bayar kembali kepada pemaju, One City Development kelak.

“Ini sahaja jalan terbaik untuk menjernihkan kembali keadaan, kembalikan hak kuil yang seharusnya sudah menjadi tapak warisan berikutan usianya kepada kuil Sri Maha Mariamman itu sendiri.

“PM mahu selesaikan isu ini apatah lagi kemarahan umum sudah tidak dapat dibendung lagi, masyarakat India juga antara pengundi tertinggi yang mengundi kerajaan PH sehingga berjaya tubuh kerajaan kini.

“Kuil tidak perlu berpindah dan tanah akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diberikan kepada kuil sendiri. Tunggu pengumuman, yang pasti ianya tidak akan mengecewakan,” janji sumber tersebut.

One City  telah membeli tanah itu pada 2007 dan dikatakan telah membayar pampasan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan penempatan semula bagaimanapun terdapat persengketaan dalam kalangan penganut enggan berpindah.

MGF26112018_KUIL TERBAKAR MALAM10
Orang awam memenuhi kawasan tapak kuil dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2018.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan tapak asal kuil tersebut dikosongkan manakala kuil dipindahkan ke lokasi lain.

Difahamkan, kerajaan Selangor menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil namun tidak dipersetujui oleh pengurusan kuil.

Terdapat dua pihak yang menuntut pemilikan kuil ini yang dibina untuk pekerja ladang pada 1981 iaitu K Chellappa dan M Nagaraju.

Yang merumitkan keadaan apabila kedua-dua mempunyai tuntutan berbeza, Chellappa bersetuju untuk penempatan semula dengan kos pampasan manakala Nagaraju yang pada awalnya bersetuju kemudian bertukar fikiran.

Nagaraju yang mengaku nenek moyangnya membina kuil tersebut berkata pokok ara yang di anggap suci oleh masyarakat India di kuil tersebut adalah suci dan tidak sepatutnya membiarkan dewa di alihkan tempat lain.

Kedua-dua kini sedang berhadapan dengan kes mahkamah berhubung isu berkenaan.

Sejak 25 Oktober lepas, pihak polis telah dikerahkan untuk berkawal di perkarangan kuil selepas dakwaan akan berlakunya insiden tidak disenangi termasuk pemindahan dewa ke tapak baharu. –MalaysiaGazette