Home Nasional Penyelesaian menyeluruh isu kuil Sri Maha Mariamman Selasa depan – Amirudin

Penyelesaian menyeluruh isu kuil Sri Maha Mariamman Selasa depan – Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang perobohan ke atas kuil Sri Maha Mariamman Seafield, USJ 25, dekat Subang Jaya dalam tempoh dua minggu ini sehingga jalan penyelesaian dapat dicapai.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengemukakan satu prosiding baharu di mahkamah berkenaan satu injuksi pada 11 Januari depan supaya tidak akan ada perobohan kuil dibuat dalam tempoh itu.

Jelas beliau, satu perbincangan dengan menteri dan Ahli Parlimen dari kaum India akan diadakan selewat-lewatnya Isnin atau Selasa ini, iaitu selepas selesai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bersidang.

“Dalam perbincangan itu, kita akan mencari penyelesaian menyeluruh agar pertikaian yang berlaku di kuil itu tidak lagi berulang dan diselesaikan sebaik mungkin.

“Dari tempoh kejadian sehingga hari ini, kita sebenarnya telah mengadakan beberapa perjumpaan dan mesyuarat dengan pihak tertentu khususnya untuk memastikan keadaan kekal tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sidang DUN Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dan anggota Exco Kerajaan Negeri, Ganabatirau Veraman.

Menurut Amirudin, beliau menerima pesanan daripada P. Waytha mengenai gesaan dan harapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin dan mengelakkan sebarang masalah berbangkit.

Katanya, kerajaan negeri tegas dengan peruntukan yang terkandung dalam peraturan negeri berhubung rumah ibadat agama lain, selain Islam.

“ini adalah selari dengan pendirian yang disebut oleh pihak Kerajaan Persekutuan atau Perdana Menteri. Pendirian kita jelas.

“Dan saya telah meletakkan syarat, iaitu jika tidak ada lagi sebarang perhimpunan dan provokasi serta semua pihak dapat mengikut arahan dari kerajaan negeri dan keamanan dapat distabilkan semula di kawasan itu, beliau akan memulakan perbincangan dengan semua pihak terbabit untuk memastikan satu resolusi termasuk beberapa pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri bagi menyelesaikan kes tuntutan ke atas kuil berkenaan.

“Saya menjangkakan perbincangan ini akan bermula selepas sidang DUN atau paling lewat Selasa hadapan dengan semua pihak terbabit untuk mencari apa yang kita katakan penyelesaian menyeluruh terhadap isu ini,” katanya.

Beliau turut menafikan berita semalam, kononnya kerajaan negeri akan mengambil alih tapak kuil itu.

“Laporan itu adalah satu perkara yang tidak benar dan kita masih lagi sedang menilai pilihan-pilihan termasuk untuk memastikan masyarakat India dan kuil itu dapat beropersi seperti biasa,” katanya.

Ditanya apakah garis panduan yang ditetapkan bagi pembinaan kuil atau rumah ibadat yang baharu, Amirudin berkata, ia jelas terkandung dalam perlembagaan negara dan peraturan negara.

“Semua sudah faham dengan garis panduan ini, baik umat Islam, kaum India atau apa kaum sekali pun.

“Cuma yang berlaku ini melibatkan sebuah kuil yang dikatakan berusia lebih 100 tahun. Mekanisma ini yang kita akan cari melalui perbincangan minggu depan,” katanya. – MalaysiaGazette