KUALA LUMPUR – Ahli politik dari kalangan kerajaan mahupun pembangkang serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan berhubung isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.
Semua pihak, katanya, juga tidak patut mengambil kesempatan terhadap isu ini yang hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Saya menggesa kepada semua agar tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluar apa-apa kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.
“Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, samada di dalam Dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang inipun sudah banyak berita palsu dan salah yang diedarkan.
“Kepada ahli politik serta pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan yang berkepentingan janganlah ada pula yang cuba menangguk di air keruh,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Sekalipun Malaysia mengamalkan hak untuk bersuara, namun kata Mahathir mana-mana pihak perlu memastikan apa yang disuarakan tidak berniat untuk mengancam kesejahteraan awam khususnya berunsurkan perkauman.
“Kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi jika apa yang disuarakan itu tidak benar dan mengancam ketenteraman awam, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
“Kerajaan telah berjanji tidak melakukan sebarang halangan untuk pemberitaan dan komunikasi tetapi kebebasan ini harus digunakan dengan penuh tanggungjawab dan bukan untuk mengapi-apikan keadaan yang boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonian perhubungan antara kaum,” tambahnya.
Beliau berpuas hati dengan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang telah bertindak mengawal keadaan dalam masa yang sama tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.
“Ini juga bukan masanya untuk menuding jari terhadap sesiapa. Pihak polis sudahpun diberitanggungjawab untuk mengawal ketenteraman serta menjalankan siasatan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini menteri dan timbalan menteri yang diketuai oleh P. Waytha Moorthy membuat kenyataan di Parlimen menyalahkan polis kerana disifatkan lewat bertindak ketika rusuhan di kuil itu Selasa yang lalu.
Exco Selangor V Ganabatirao juga pada malam Isnin ketika pencerobohan di kuil itu berlaku menggunakan Facebook untuk menyatakan pandangannya berhubung kekecohan di kuil berkenaan.
Kata Ganabatirao, terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mengganggu keharmonian kaum di negara ini. – MalaysiaGazette