PUTRAJAYA – Kumpulan waris mangsa pesawat hilang MH370, Voice370, menyerahkan lima serpihan baharu dipercayai daripada kapal terbang itu yang ditemukan di Madagascar.
Wakil kumpulan tersebut, Grace Nathan berkata, mereka berharap membawa serpihan tersebut dapat memberi petunjuk baharu sekali gus membuka ruang kepada kerajaan untuk melakukan sesuatu.
Grace yang ibunya turut berada dalam pesawat itu berkata, lima serpihan tersebut dijumpai antara Disember 2016 hingga Ogos lalu di tiga lokasi berbeza.
“Serpihan itu dijumpai dan dikumpul oleh orang awam dan nelayan di sana sejak tahun lalu.
“Walaupun ia hanya serpihan, namun jika dikumpul ia mampu merungkai apa yang terjadi ke atas pesawat MH370 itu.
“Cuma apa yang pelik, kebanyakan serpihan boleh ditemui oleh orang awam dan bukannya pasukan penyiasat selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dua penyiasat bebas, Blaine Alan Gibson dan Jacquita Gonzales di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Serpihan itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut ditemani Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia, Datuk Kok Soo Chon.
Antara serpihan itu adalah panel lantai pesawat selain tertera nombor siri.
Grace menjelaskan, berdasarkan pakar bebas yang dirujuk, label pada serpihan itu dipercayai merujuk kepada panel lantai kapal terbang tersebut.
Jelasnya, penemuan serpihan diharap dapat membolehkan kerajaan melakukan inisiatif bagi meneruskan usaha pencarian yang dihentikan sebelum ini.
Dalam pada itu, Anthony berkata, lima serpihan itu akan diserahkan kepada ICAO untuk tindakan selanjutnya.
Beliau memberi jaminan kerajaan sedia menyambung semula misi mencari pesawat MH370, sekiranya terdapat bukti-bukti menyakinkan.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah membuat keputusan untuk menghentikan sepenuhnya usaha pencarian pesawat tersebut.
“Penemuan serpihan baharu ini akan dibawa kepada Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, pada 29 Mei lalu, syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity menamatkan pencarian tanpa sebarang penemuan.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing, China pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette