Home Politik Jangan endah kenyataan jatuhkan MB Perak

Jangan endah kenyataan jatuhkan MB Perak

Ahmad Faizal Azumu

IPOH –  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Perak digesa agar tidak mengambil endah kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad berhubung usaha menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketika membuat gesaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari turut meminta Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kiranya benar dakwaan yang dibuat.

“Saya yakin dan tidak ragu untuk menyebut bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan elemen jenayah, jadi saya minta Datuk Saarani hentikan segala saspens ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-9, di sini hari ini.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan sebelum ini mendakwa ada pihak menawarkan pelbagai habuan kepada ADUN Barisan Nasional agar menyokong usaha menjatuhkan Ahmad Faizal.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, dakwaan Saarani itu adalah mengarut kerana bukan mudah untuk menjatuhkan menteri besar dengan undi tidak percaya.

“Undi tidak percaya bukan suatu perkara mudah, kita perlu ke sana ke sini untuk berkempen untuk menjatuhkan seseorang ini. Saya harap kawan-kawan dalam PH tidak termakan dengan gimik beliau ini,” katanya.

PULARA 2018 bertemakan ‘PULARA Mendunia’ itu berlangsung di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina@Meru di sini sejak Rabu lepas hingga 2 Dis. – MalaysiaGazette