KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah memberi jaminan akan memberi perhatian sewajarnya kepada keperluan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim sepanjang anggota bomba itu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, sebaik sahaja pihaknya dimaklumkan Muhammad Adib adalah anak Kedah, Kerajaan Negeri Kedah terus memberi bantuan sewajarnya.
“(Sumbangan) daripada Kerajaan Negeri memang ada sejak dua hari lepas lagi apabila Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menitahkannya.
“Wakil Kerajaan Negeri Kedah iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Razali Ab Malik yang menyerahkan bantuan tersebut bagi pihak kerajaan negeri.
“Tapi apa juga keperluan keluarga akan kami beri perhatian sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui selepas menziarah Muhammad Adib di di IJN, hari ini.
Terdahulu Mukhriz tiba di IJN kira-kira 2.45 petang tadi untuk melihat sendiri keadaan Muhammad Adib yang cedera parah akibat rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Putra Heights pada awal pagi Selasa lalu.
Semalam, IJN dalam kenyataannya memaklumkan anggota bomba berusia 24 tahun itu mula menunjukkan tanda-tanda sedar dan bertindak balas kepada beberapa arahan lisan.
Muhammad Adib bagaimanapun masih di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.
Mukhriz turut menemui keluarga Muhammad Adib yang masih menemaninya sepanjang menerima rawatan sejak Selasa lalu.
“Selaku Menteri Besar Kedah bila saya dimaklum bahawa saudara Adib adalah seorang anak Kedah, iaitu Kuala Kedah, maka kita terpanggil untuk datang dan lihat sendiri keadaannya.
“Setelah mendapat laporan daripada Datuk Seri Azhari, nampaknya semakin hari semakin baik keadaan beliau.
“Kita doakan dia cepat sembuh. Saya juga sempat jumpa dengan keluarga Adib dan mereka pun mengharapkan seperti kita juga agar cepat sembuh dan kembali bertugas sebagai anggota bomba,” katanya. – MalaysiaGazette