KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin dengan kebolehan serta pencapaian oleh dua orang menteri yang seringkali dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sendiri.
Dua Menteri itu, Dr Maszlee Malik yang menerajui Kementerian Pendidikan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy diyakini Dr. Mahathir sedang mencuba sedaya upaya mereka dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, tidak ada keperluan untuk ‘sekolahkan’ kedua-dua pemimpin ini sebaliknya beliau hanya akan sekadar bercakap sahaja dengan mereka kelak.
“Ya, ya, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian mereka. Mereka sebenarnya sedang cuba sedaya upaya mereka,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Malah beliau menambah tidak ada sebarang keperluan untuk beliau memberikan kuliah atau menyekolahkan mereka berhubung tanggungjawab masing-masing seperti saranan segelintir pihak.
“Tak adkuliah. Bercakap sahaja dengan mereka. Saya bercakap dengan mereka. Itu sahaja, tidak perlu kuliah,” ujarnya ringkas.
Kadir Jasin tegur Waytha Moorthy, Maszlee supaya dengar nasihat PM
Sebelum ini, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin memberikan pandangan peribadi beliau terhadap prestasi Waytha dan Maszlee sambil menasihatkan kedua-dua menteri itu agar mendengar nasihat perdana menteri dengan lebih fokus.
Menulis di blognya, wartawan veteran itu mendakwa tindak-tanduk Waytha dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya beberapa hari lalu tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.
Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu juga menasihatkan Waytha agar tidak memalukan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.
“Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.
“Tolonglah jangan malukan Raja kita dan Perdana Menteri kita,” katanya.
Selain Waytha, Kadir turut menasihatkan Maszlee agar mengembalikan sekolah kebangsaan kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.
Menurut Kadir, menteri pendidikan itu baru saja ‘dikuliahkan’ oleh Tun Mahathir baru-baru ini. -MalaysiaGazette