Home Nasional Beras ‘Hitam Tadung’ tarikan eksklusif MAHA 2018

Beras ‘Hitam Tadung’ tarikan eksklusif MAHA 2018

beras
Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan BERNAS, Yogeshini Ramakrishnan (kiri) memberi penerangan mengenai pelbagai jenis beras kepada pengunjung, Esah Ali, 48 (kanan), Rokiah Ali, 54 (dua kanan) dan Zaharah Ali, 65 (tiga kanan) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

SERDANG – Lazimnya kita pernah merasai beras putih tempatan, import seperti Basmati serta beras perang yang direbus dalam pelbagai jenama di pasaran.

Bagaimana pula dengan beras hitam?

Mungkin agak pelik untuk didengar tetapi itu beras yang dipamerkan sampel untuk dirasai pengunjung yang kini dipamerkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini.

Pengurus Bahagian Unik Pengurusan Kualiti Beras Padiberas Nasional Malaysia Berhad (Bernas), Mohd Ghadafi Mokhtar berkata, beras hitam yang dinamakan sebagai ‘Hitam Tadung’ juga merupakan beras padi bukit dan sukar untuk diperolehi di pasaran semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“Hitam Tadung yang juga dikenali sebagai beras berpigmen sangat terhad dan hanya boleh didapati di Tambunan dan Keningau di Sabah dan nilai pasaran yang sangat tinggi sehingga dijual RM15 sekilogram.

“Lebih-lebih lagi ia tidak pernah dikomersialkan kerana ia hanya diusahakan kecil-kecilan dan tradisional oleh penduduk kampung berkenaan untuk digunakan sebagai makanan seharian mereka sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Tambah beliau, beras itu berwarna hitam disebabkan variasi padi itu sendiri dan kualiti bijinya yang bervitamin dan organik yang baik untuk sistem imunisasi badan.

Malah benih dan juga kawasan tanah yang sesuai sukar untuk diperoleh bagi penanaman beras berkenaan yang kelihatan seperti beras pulut hitam.

Menurutnya, selain Hitam Tadung, lebih 15 variasi beras turut dipamerkan Bernas pada MAHA kali ini, antaranya sampel Beras Kristal, Beras Bario, Beras Wangi Keladi dan Beras Mamut dari Sarawak.

MAHA 2018 yang dibuka kepada pengunjung sejak 22 November lalu dengan lebih 8 jenis tarikan utama akan melabuh tirai menjelang petang esok yang setakat hari ini merekodkan 2 juta pengunjung.- MalaysiaGazette