Home Sukan Azizulhasni raih gangsa dalam Trek UCI

Azizulhasni raih gangsa dalam Trek UCI

Mohd Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang akhirnya menamatkan kemarau pingat apabila meraih gangsa pada pusingan ketiga kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2018 di Jerman pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu yang gagal memenangi sebarang pingat dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini, di Perancis dan Kanada, membuktikan kemampuannya apabila menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara keirin lelaki pada kejohanan berlangsung di Velodrom Berlin.

Menurut laman sesawang Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI); www.uci.ch, perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Belanda Matthijs Buchli manakala Matthew Glaetzer dari Australia di tempat kedua.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni yang bergandingan dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis gagal mara ke separuh akhir acara pecut lelaki berpasukan apabila menduduki tempat ke-13 daripada 15 pasukan dalam saingan pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Saingan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI adalah kejohanan bagi pelumba mengumpul mata untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Pusingan akhir kejohanan berkenaan bagi musim 2018 akan berlangsung di London dari 14 hingga 16 Dis ini. – MalaysiaGazette