KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan Akta Anti Islam dan Raja-Raja Melayu (AMIR).
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, akta baharu itu bertujuan menjamin kelangsungan keamanan negara, kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Ia bagi memastikan Islam dan Raja-Raja Melayu tidak lagi terus dihina dan dicerca oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Akta AMIR mempunyai dua bahagian iaitu Tahanan Tanpa Bicara dan Pendakwaan Terbuka di mahkamah.
“Ia dikenakan kepada mana-mana individu atau kumpulan anti-Islam dan Raja-Raja Melayu dalam apa jua bentuk dengan hukuman paling berat termasuk hukuman mandatori rotan,” katanya pada Persidangan Agung Tahunan Perkasa kali ke-9, di Hotel Regency, di sini, hari ini.
Ibrahim juga berkata, Perkasa akan terus bersama gelombang kebangkitan rakyat menentang sebarang usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menhgenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Ini kerana ia tidak selari dengan Perlembagaan negara dan mesti ditolak sepenuhnya secara muktamad.
“Setiap negara mempunyai acuan dan nilai-nilai tersendiri yang berbeza dengan negara lain,” katanya.
Selain itu, katanya Perkasa akan menentang habis-habisan sebarang tuntutan daripada kumpulan Comango yang bertentangan dengan hukum dan syariat Islam, bercanggah dengan asas Perlembagaan.
“Kita menolak sepenuhnya cadangan kumpulan Comango ini yang membawa kehancuran dan kebebasan demokrasi dan tatasusila budaya bangsa.
“Deklarasi hak asasi manusia hanya terpakai selagi mana tidak bercanggah dengan hukum dan syariat Islam,” katanya.
Katanya lagi, Perkasa akan menentang sebarang usaha untuk meminda atau menyelit perkataan bebas di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan beragama.
“Perkasa bersikap tegas dan menolak sebarang fahaman liberalisme yang melampau.
“Konsep pluralisme dan budaya LGBT bertentang dengan ajaran Islam dan nilai-nilai murni budaya bangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette