Home Ekonomi Harga minyak naik

Harga minyak naik

SINGAPURA – Harga minyak melonjak pada awal dagangan pada hari ini selepas Amerika Syarikat dan China bersetuju satu gencatan dalam konflik perdagangan antara kedua negara itu, selain faktor menjelang pertemuan oleh pengeluar OPEC minggu ini.

Pertemuan OPEC itu dijangka membabitkan pengurangan bekalan minyak dunia.

Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat diniaga pada AS$ 52.60 setong pada 0032 GMT, naik AS$ 1.67 setong, atau 3.2 peratus daripada harga penutup.

Niaga hadapan minyak mentah Brent juga naik AS$ 1.55 setong, atau 2.6 peratus, pada AS$ 61.01 setong.

China dan Amerika Syarikat bersetuju untuk tidak mengenakan tarif tambahan sekurang-kurangnya untuk 90 hari semasa pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping.

Minyak mentah tidak termasuk dalam senarai ratusan produk yang dikenakan tarif import tetapi para pedagang berkata, positif sentimen daripada gencatan antara dua kuasa ekonomi besar dunia itu memacu pasaran minyak.

Manakala, OPEC dijangka mengadakan mesyuarat pada 6 Disember ini, bakal mengumumkan pengurangan bekalan bagi mengelakkan berlaku lebihan berikutan penyusutan harga minyak bagi pusingan ketiga sejak Oktober lalu.

Setakat ini belum ada pengumuman mengenai pengurangan bekalan tetapi kebanyakan penganalisis menjangkakan OPEC akan menurunkan sehingga 1.4 juta tong sehari, yang mana ia merupakan paras tertinggi yang pernah dilakukan oleh kartel minyak itu sejak Disember 2016. – MalaysiaGazette