Home Nasional Ini benar-benar lencun – Najib

Ini benar-benar lencun – Najib

Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini ditipu bulat-bulat oleh Pakatan Harapan yang pernah membuat pelbagai dakwaan dan tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung hak kebebasan rakyat.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah lupa apabila Pakatan Harapan mendakwa kerajaan BN teruk dan zalim serta menindas rakyat.

Malah, katanya, beliau sendiri pernah didakwa sebagai diktator.

Semuanya gara-gara kerajaan memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma, Akta Pencegahan Jenayah (POTA) dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang keganasan.

Mereka mendakwa akta-akta tersbeut zalim dan menindas demokrasi dan hak rakyat.

“Saya masih ingat. Internet dan rakyat juga tak pernah lupa.

“Pada masa lalu apabila kerajaan BN meminda ataupun memperkenalkan akta untuk menjaga keselamatan rakyat seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA), deras pemimpin PH bantah. Berlumba-lumba membuat sidang media.

“Berpuluh kenyataan akhbar serta rencana dibuat, lengkap dengan poster. Lengkap dengan pelbagai perkataan: Kerajaan zalim. rakyat ditindas. saya ialah diktator, kerajaan paling teruk, Hak kebebasan rakyat disekat dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Walaupun kerajaan BN menyatakan undang-undang ini penting demi menjaga keselamatan negara tetapi Pakatan Harapan mendakwa kerajaan dahulu tipu dan melakukan fitnah.

Hinggakan Pakatan Harapan mengajak rakyat turun ke jalan raya untuk melakukan bantahan bersama mereka.

Pakatan Harapan juga, kata Najib meletakkan pemansuhan segala akta ini dalam janji manifesto pada Pilihan Raya ke-14 lalu.

Namun, menurutnya, Pakatan Harapan semalam membuktikan mereka tidak menunaikan janji-janji itu apabila Kabinet memutuskan untuk meluluskan untuk terus menggunakan undang-undang yang pernah didakwa zalim itu.

“Tidak akan dimansuhkan lagi. Alasan mereka: Ia penting untuk menjaga keselamatan rakyat di sebalik segala dakwaan mereka undang-undang ini zalim,” katanya.

Dengan sindiran halus dan cukup tajam, Najib berkata: “Ini benar-benar lencun. Harap anda semua sentiasa bersedia dengan tuala.

“Tuala good morning pun kena SST 10%,” ujarnya. – MalaysiaGazette