KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada untuk meneruskan pengurangan pengeluaran minyak sebanyak 20,000 tong sehari esok.
Malaysia telah bersetuju mengurangkan pengeluaran sehingga Oktober tahun ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu akan diumumkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC di Vienna.
“Kami akan membincangkan sama ada mahu meneruskan atau tidak dalam satu kerjasama yang lebih rasmi,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Mesyuarat yang diadakan dua kali setahun untuk negara-negara pengeluar minyak akan membincangkan langkah-langkah bagi menstabilkan harga komoditi berkenaan termasuk melalui pemotongan pengeluaran.
Langkah tersebut telah membantu harga minyak mentah Brent meningkat secara beransur-ansur daripada bawah AS$50 setong pada 2016 kepada lebih AS$80 setong pada Oktober 2018.
Bagaimanapun, harga minyak jatuh ke bawah AS$60 setong minggu lalu disebabkan oleh kemelut bekalan susulan peningkatan pengeluaran global oleh negara-negara pengeluar utama seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Asia Barat.
Azmin enggan mengulas ketika ditanya sama ada kerajaan mahu mengkaji semula Belanjawan 2019 bersandarkan kepada harga minyak semasa.
Ketika ini harga minyak mentah Brent didagangkan sekitar AS$60 setong.
Kerajaan ketika membentangkan Belanjawan 2019 meramalkan purata harga minyak adalah AS$70 setong.-MalaysiaGazette