Home Nasional Siti Hasmah berdoa Muhammad Adib cepat sembuh

Siti Hasmah berdoa Muhammad Adib cepat sembuh

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah) disambut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidat Mohamad (kanan) dan Datuk Dr Ezani (kiri) untuk menziarah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kecederaan parah yang ditanggung oleh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman turut mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Wanita nombor satu negara itu menziarahi Muhammad Adib yang kini sedang menerima rawatan insentif di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Siti Hasmah tiba kira-kira jam 9.40 pagi disambut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidat Mohamad dan Datuk Dr Ezani selaku wakil pegawai kanan IJN serta keluarga Muhammad Adib.

Beliau meluangkan masa hampir setengah jam di IJN bagi melihat sendiri perkembangan Muhammad Adib serta mendengar taklimat daripada doktor pakar berkaitan rawatan yang dijalankan.

Hasmah 8
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah) bersama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidat Mohamad (kanan) bergambar bersama anggota bomba selepas mengunjungi Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur

Sepanjang kunjungannya ke IJN, Siti Hasmah turut berdoa agar Muhammad Adib segera sembuh dan berharap pihak keluarga bersabar di atas insiden yang menimpa anggota bomba itu.

Sementara itu, Muhammad Adib dilaporkan kini tidak lagi bergantung kepada mesin sokongan jantung.

Muhammad Adib mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selasa minggu lepas. – MalaysiaGazette