Home Utama Skandal 1MDB akan dimasukkan dalam buku sejarah generasi akan datang

Skandal 1MDB akan dimasukkan dalam buku sejarah generasi akan datang

maszlee
Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukan dalam buku sejarah untuk tatapan semua bagi memastikan kesalahan itu dijadikan tauladan kelak.

Menteri Pendidikan, Dr Maslzee Malik berkata, beliau akan memastikan maklumat serta fakta berkaitan skandal 1MDB itu ditambah dalam buku sejarah agar generasi pada masa depan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Saya sangat bersetuju sejarah itu penting agar isu tertentu akan dijadikan teladan pada masa hadapan. Sejarah serta fakta tentang skandal akan dimasukkan dalam buku sejarah nanti. Ini bagi memastikan generasi akan datang tidak akan ulanginya.

“Selain itu, kita akan masukan juga dalam buku sejarah tentang jenayah menyamun harta kerajaan, sejarah bagaimana khazanah kerajaan disamun oleh segelintir pemimpin politik di negara. Semua itu akan dimasukkan agar ianya menjadi tauladan pada masa hadapan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan (BN) yang mahu mengetahui apakah jangka masa untuk sesuatu peristiwa sebelum dianggap sejarah, selain daripada tajuk-tajuk yang menjadi kontroversi bagi subjek tersebut.

Selain daripada Ahmad Maslan, terdahulu Ahli Parlimen Hulu Langat, Tuan Hasanuddin Mohd Yunus (PH) bertanya adakah kerajaan akan menggubal semula subjek sejarah yang sebelum ini terdapat fakta salah dan terlalu banyak tokok tambah.

Ahmad Maslan turut mengingatkan Maszlee agar memasukan juga isu kehilangan dana negara sebayak RM32 bilion dalam skandal forex sebelum itu ketika era Tun Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4 dulu.

Bagaimanapun, Maszlee tidak mempedulikan cadangan Ahmad Maslan sebalik terus menyambung jawapannya. –MalaysiaGazette