KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dalang yang mencetuskan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tangkapan berhubung rusuhan itu juga dijangka meningkat kerana terdapat lagi beberapa individu yang masih belum dapat dikesan.
“Polis sudah ada maklumat dan mereka yang disyaki sudah ada yang diambil tindakan, dan kini bilangannya semakin bertambah mereka yang ditahan.
“Ada kerjasama daripada orang ramai yang membantu umpamanya kes Adib (Muhammad Adib) dan seorang saksi telah tampil untuk memberikan keterangan dan kita akan siasat perkara itu sampai terbukti siapa yang bersalah,” katanya dalam sidang media sempena mesyuarat bulanan KDN bersama PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebentar tadi.
Hadir sama Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Fuzi Haron.
Sementara itu, Fuzi ketika ditanya mengenai gambar 28 orang saksi untuk membantu siasatan kes tersebut berkata: “Setakat ini belum ada saksi yang datang memberikan keterangan.” katanya.
PDRM sebelum ini mengeluarkan senarai 28 saksi yang dipanggil untuk memberikan keterangan.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd turut memohon kesemua saksi berkenaan tampil memberi kerjasama berhubung kes berkenaan.
Awal hari ini jumlah yang ditahan sudah mencecah 58 orang dimana kesemuanya adalah rakyat tempatan.
Semalam sahaja, seramai 11 lagi individu direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman.
Semua mereka disiasat di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah). -MalaysiaGazette