Home Ekonomi Harga minyak terus kukuh menjelang pertemuan OPEC

Harga minyak terus kukuh menjelang pertemuan OPEC

Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga minyak terus kukuh dalam dagangan hari ini berbanding semalam ekoran menjangkakan OPEC akan mengetuai pengurangan bekalan minyak.

Gencatan dalam pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga dilihat menyokong pasaran.

Minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate diniagakan AS$53.20 setong naik AS$0.25 berbanding harga penutup.

Niaga hadapan Brent pula belum lagi didagangkan.

Penanda aras bagi kedua-dua harga minyak mentah naik kira-kira 4 peratus pada sesi sebelumnya selepas Washington dan Beijing bersetuju untuk menghentikan pertikaian perdagangan dan akan berunding selama 90 hari sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) akan bertemu pada 6 Disember ini bagi memuktamadkan polisi pengeluaran.

Perbincangan itu turut membabitkan Rusia.

“Kami menjangkakan OPEC akan bersetuju dengan pengurangan bekalan semasa di Vienna,” kata Goldman Sachs dalam nota penyelidikannya.

Menurut bank itu, pengurangan bekalan oleh Rusia dan OPEC sebanyak 1.3 tong sehari akan menyeimbangkan peningkatan inventori.

Kerjasama OPEC dan Rusia itu bagi menyokong harga minyak kepada paras AS$60 setong.

OPEC menghadapi masalah besar dengan peningkatan pengeluaran oleh Amerika Syarikat apabila jumlah bekalan terus meningkat kepada 2 juta dalam tempoh setahun kepada lebih 11.5 juta.

Bank Barclays menganggarkan Texas mengeluarkan 4.69 juta tong sehari pada bulan September berbanding pengeluaran sebanyak 4.66 juta tong oleh Iran.

Iran adalah pengeluar minyak kedua terbesar selepas Arab Saudi. – MalaysiaGazette