Home Dunia Mahkamah halang Rajapaksa bertindak sebagai PM Sri Lanka

Mahkamah halang Rajapaksa bertindak sebagai PM Sri Lanka

Mahinda Rajapaksa. foto Agensi

COLOMBO – Mahkamah Rayuan Sri Lanka mengeluarkan perintah interim yang menghalang Perdana Menteri yang baharu dilantik, Mahinda Rajapaksa dan Menterinya daripada menjalankan kuasa sehingga mendengar petisyen yang mencabar kuasa mereka.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu pada hari Isnin selepas 122 anggota Parlimen Sri Lanka, yang bersekutu dengan Perdana Menteri yang disingkirkan, Ranil Wickremesinghe memfailkan tindakan undang-undang pada 23 November yang mencabar kuasa Rajapaksa sebagai Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan yang diemail pada petang Isnin, Rajapaksa berkata, beliau tidak menerima keputusan mahkamah rayuan itu dan akan membawa perkara itu ke Mahkamah Agung.

Wickremesinghe yang mengulas keputusan mahkamah itu berkata, ia adalah “kemenangan institusi demokratik atas keinginan individu”.

Katanya, beliau bersedia menghadapi pilihan raya dengan cara yang sah selaras dengan Perlembagaan.

Fitch Ratings pada Selasa menaikkan penarafan Sri Lanka dengan satu kedudukan kepada B, atau lima tahap di bawah gred pelaburan, dengan mengatakan pergolakan politik yang sedang berlaku memburukkan lagi risiko pembiayaan luaran negara yang telah mengalami tekanan akibat keadaan monetari global yang lebih ketat.

Presiden Maithripala Sirisena menyebabkan negara pulau itu berada dalam kancah kekacauan politik apabila secara tiba-tiba menggantikan Wickremesinghe dengan Rajapaksa pada akhir Oktober lalu.

Presiden bertindak menggantung Parlimen dan kemudian meminta pemilihan umum yang baharu.

Penggubal undang-undang yang menentang Rajapaksa telah mengundi pada 28 November untuk membekukan perbelanjaan pejabatnya dan gaji semua menteri dalam usaha untuk mengecil kebolehan kerajaan baharu melaksanakan dasar.

Ia merupakan undi Parlimen ketiga berturut-turut bagi menentang bekas presiden, yang memerintah antara 2005 dan 2015. – MalaysiaGazette