Home Nasional Permohonan PDRM, kerajaan batal saman UMNO didengar 11 Feb depan

Permohonan PDRM, kerajaan batal saman UMNO didengar 11 Feb depan

Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalkan saman yang dikemukakan UMNO berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti berkenaan yang disita oleh polis di sebuah premis di Pavilion Residences, akan didengar pada 11 Feb depan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini, yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Narkunavathy Sundareson dan Khairul Nizam Mohd Kamal, mewakili PDRM dan kerajaan.

Hariharan berkata sepatutnya hari ini ditetapkan bagi mendengar permohonan UMNO supaya PDRM mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang milik parti itu, tetapi mahkamah memutuskan untuk mendengar permohonan bagi membatalkan saman anak guamnya terlebih dahulu.

“Oleh itu, permohonan untuk membatalkan saman akan didengar pada 11 Feb tahun depan dan permohonan UMNO bagi mendapatkan dokumen berhubung sitaan wang ditetapkan untuk sebutan pada tarikh sama,” katanya.

Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan atas alasan UMNO tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan saman berkenaan selain mendakwa wang yang disita masih dalam siasatan pihak polis.

Pada 3 Okt lepas, UMNO melalui pegawai awamnya Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada PDRM iaitu salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang dan gambar wang yang disita, salinan semua gambar yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

UMNO melalui Abd Rauf memfailkan saman pada 21 Sept lepas dengan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R. Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam penyataan tuntutannya, UMNO antara lain memohon perisytiharan bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lepas adalah salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak-hak parti berkenaan.

Plaintif juga memohon perintah supaya wang RM116.7 juta dan wang RM43.3 juta yang juga didakwa milik parti itu dipulangkan kepadanya selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dakwa plaintif tindakan kesemua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian. – MalaysiaGazette