Home Ekonomi Ringgit ditutup lebih tinggi

Ringgit ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong peningkatan minat bagi mengambil risiko berikutan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang semakin reda, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1450/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1630/1680 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global Jameel Ahmad berkata sentimen pasaran bagi unit tempatan turut mengukuh berikutan langkah luar jangka Rizab Persekutuan AS yang memihak kepada kadar faedah rendah.

“Ini menyediakan pemangkin yang diperlukan bagi meningkatkan lagi prestasi pasaran mata wang sedang pesat membangun,” katanya dalam makluman hari ini.

Pasaran mata wang sedang pesat membangun mengekalkan prestasi kukuh pada hari kedua urus niaga minggu ini, dengan mata wang seperti peso Argentina mampu meningkat semula lebih 3.0 peratus dan Rand Afrika Selatan melonjak 1.8 peratus, kata Jameel.

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ia meningkat kepada 3.0393/3441 daripada 3.0474/0515 semasa ditutup pada Isnin, berbanding pound British naik kepada 5.3089/3166 daripada 5.3195/3275 dan turut naik berbanding euro kepada 4.7299/7376 daripada 4.7312/7373 semalam.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen kepada 3.6756/6810 daripada 3.6695/67848 semalam. – MalaysiaGazette

+ posts