KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy akan disiasat sama ada di bawah Akta Hasutan 1948 atau Kanun Keseksaan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Waytha, katanya, dipanggil untuk memberi keterangan hari ini berhubung kenyataan yang dikeluarkan ketika insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 15, Subang Jaya, 26 dan 27 November lalu.
“Saya difahamkan pihak polis memanggil Waytha Moorthy, atas faktor mungkin kenyataan dia dibuat mungkin waktu insiden itu berlaku,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Perkembangan tersebut kemudiannya disahkan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
“Siasatan sama ada di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan,” jelas Fuzi dalam sidang media sama.
Sebelum ini, Fuzi berkata Waytha dijadualkan memberikan keterangan hari ini setelah beberapa kali ditunda.
Menurut sumber PDRM, Waytha akan tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jam 7 petang ini.
Sebelum ini Waytha dalam sidang media di Parlimen mendakwa pihak polis lambat bertindak ketika insiden di kuil berkenaan. -MalaysiaGazette