SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kesatuan sekerja di negara ini meluaskan peranan termasuk menjadi penghubung di antara pekerja dan majikan, bukan lagi sekadar penganjur piket mendesak majikan menunaikan permintaan mereka.
Perdana Menteri berkata ini kerana seiring perkembangan semasa, keperluan pekerja dan majikan terhadap satu sama lain juga sudah berubah dan semakin kompleks.
“Sebagai perantara di antara pekerja dan syarikat, kesatuan sekerja yang dinamik amat penting,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (Upus) ke-21, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia Berhad Datuk Mohammad Zainal Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Md Najib Syed Md Noor serta pemangku Presiden Upus Ahmad Tarmizi Taib.
Beliau turut menegaskan pentingnya bagi kesatuan sekerja mengamalkan kesederhanaan serta bertoleransi dalam semua perkara agar dapat menjadi penghubung yang baik di antara pekerja dan majikan.
Pada masa sama, Dr Mahathir berkata kesatuan sekerja juga perlu peka dengan perubahan persekitaran termasuk teknologi yang berlaku dengan pantas agar ia dapat mengambil langkah wajar bagi memastikan pekerja yang diwakili tidak ketinggalan.
“Kesatuan sekerja harus berkeupayaan untuk memahami perubahan yang berlaku serta memainkan peranan untuk memastikan pekerja tidak tertinggal apabila teknologi dan perubahan mendadak berlaku,” katanya.
Pada majlis yang dihadiri 147 anggota Upus itu, Dr Mahathir turut memuji Pos Malaysia yang berjaya menjadi peneraju e-dagang selepas mengharungi pelbagai cabaran dan perubahan.
“Cabaran masa kini memerlukan kepada kepelbagaian sektor perkhidmatan dan perniagaan, dan Pos Malaysia saya percaya akan terus berinovasi untuk kekal relevan, ” katanya.
— BERNAMA