KUALA LUMPUR – Gara-gara sukar mempromosi produk keluarannya walaupun menjadi penaja, jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman bakal menjadi pengacara program bual bicara tidak lama lagi.
Namun kali ini, beliau yang popular dengan panggilan Datuk Seri Vida tidak muncul di stesen televisyen berbayar, Astro atau pun swasta iaitu TV3.
Sebaliknya, wanita berusia 47 tahun itu memilih stesen televisyen kerajaan iaitu TV Alhijrah.
Vida berkata, program yang akan dikendalinya itu berjudul Lavida The Vida dan akan mula bersiaran pada 1 Januari depan.
Jelas beliau, ia akan disiarkan secara langsung selama sejam pukul 10.30 pagi setiap hari selama seminggu dan akan diulang tayang selepas itu.
“Untuk permulaan kita akan buat tujuh episod dahulu kerana ia merupakan pilot projek. Saya tidak merajuk dengan Astro pun tapi saya perlu cari rancangan yang ada kandungan.
“Astro lebih kepada rating penonton dan TV3 tidak ada slot untuk program live dan saya tidak mahu program rakaman kerana impak program live sangat kuat dan sangat berbeza.
“Yang penting, saya akan menjadi pengacara dan menjanjikan program yang menarik dan interaktif selain barang koleksi peribadi akan ‘diprelove’ dalam program tersebut serta dapat mempromosi produk-produk saya untuk diberikan sebagai hadiah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Ditanya persediaan menjadi pengacara program iu, Vida berkata beliau akan sentiasa memantau berita terkini tanah air yang menjadi trending dan tular kerana pihak tersebut akan dipanggil menjadi tetamu jemputan nanti.
“Program ini ada elemen humor dan saya akan belasah sahaja untuk berinteraksi dengan tetamu jemputan termasuk artis dan juga anak saya, Cik Bi,” katanya.
Sebelum ini, usahawan kosmetik itu meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa kehadirannya pada malam final Gegar Vaganza 5 (GV5) ibarat tetamu tidak diundang.
Bukan itu sahaja, beliau yang juga penaja empat musim GV sebelum ini turut terkejut dengan layanan ‘team’ produksi program realiti itu.
Insiden itu menyebabkan beliau sudah serik untuk menaja mana-mana program realiti selepas ini.
“Itu antara sebab mengapa saya sudah serik untuk menaja. Kita taja berjuta-juta tapi apa yang saya dapat… hanya makian dan cacian.
“Beginilah nasib sebagai penaja. Bila anda sudah tidak menaja, anda terus dilupakan,” katanya selepas GV5.
Mengimbas insiden tersebut, Vida berkata beliau memang tidak puas hati namun sudah melupakannya kerana mahu memandang ke hadapan.
“Apakan daya, ia sudah menjadi sejarah. Saya kena teruskan hidup agar bisnes maju ke depan. Kalau saya putus asa, perniagaan akan mendapat kesan.
“Orang Melayu meniaga macam itu kerana dia ikut mood. Saya tidak mahu jadi begitu. Hayat sesuatu bisnes dalam lima tahun dan bila sudah kaya duduk rumah dan pergi bercuti.
“Saya sudah bosan dan tahun 2019 adalah kemunculan saya semula dengan pelbagai perancangan,” katanya. – MalaysiaGazette