Home Nasional Empat NGO desak Kerajaan India mohon maaf

Empat NGO desak Kerajaan India mohon maaf

Amir Amsaa Alla Pitchay
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa All Pitchay (tengah) bercakap kepada media ketika menyerahkan memorandum kepada Kedutaan India berkenaan kenyataan Arjun Sampath, turut hadir Presiden Persatuan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (kiri) di Pejabat Kedutaan India, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2018

KUALA LUMPURĀ – Pertubuhan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) hari ini mendesak Kerajaan India memohon maaf kepada Kerajaan Malaysia susulan pemimpin politiknya mengeluarkan tuduhan liar berhubung kejadian rusuhan di sebuah kuil, di Subang Jaya, Isnin lepas.

Presidennya, Amir Amsaa All Pitchay berkata, tindakan pemimpin politik dari Tamil Nadu India itu yang menuduh komuniti India di negara ini dizalimi berunsur jahat tanpa mengetahui keadaan sebenar kejadian itu.

“Ini menunjukkan satu tindakan berniat jahat dan terhadap Malaysia di mana beliau menularkan video kilp dalam Bahasa TamilĀ  dengan menuduh serangan terhadap kuil terbabit.

“Beliau sengaja mengambil kesempatan dalam isu rusuhan kuil dengan mengeluarkan fakta salah dan menokok-tambah perkara yang tidak berlaku dalam kejadian rusuhan dan penduduk Hindu di negara.

“Kenyataan pemimpin Parti Orang Hindu (HPP) dari Tamil Nadu itu hanya mengeruhkan keadaan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kedutaan India, di Mont Kiara, di sini, hari ini.

Pelampau India dakwa kanak-kanak, wanita dibunuh dalam rusuhan kuil Seafield

Isu kuil: India sokong tindakan Malaysia, tidak campur urusan domestik

Terdahulu Amir Amsaa bersama Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah dan dua lagi NGO iaitu Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (DESMMA) dan Gerakan Refomis Rakyat Malaysia (REFOMIS) menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Malaysia.

4 NGO serah memorandum bantahan
Presiden Persatuan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (dua kiri) bersama Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa All Pitchay (kanan) ketika menyerahkan memorandum kepada wakil Penasihat Pertahanan Kedutaan India di Malaysia, Anirath Chandam (tengah) berkenaan kenyataan Arjun Sampath di Pejabat Kedutaan India, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2018

Memorandum itu membantah kenyataan pemimpin politik dari India, Arjun Sampath mendakwa sekumpulan 200 pelampau Islam telah membunuh kanak-kanak dan wanita kaum India dengan mengelarkan leher menggunakan pisau dan merobohkan sebahagian struktur Kuil Seri Maha Mariamman, USJ25, Putra Heights, Subang Jaya, pada pagi Isnin lepas.

Arjun membuat tuduhan liar itu ketika menghantar surat bantahan dakwaan kekejaman itu kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Tamil Nadu, 28 November lalu.

Amir Amsaa juga membantah campur tangan pemimpin politik India itu kerana membuat tuduhan tanpa fakta kukuh dan dikhuatiri boleh menimbulkan sentimen perkauman di negara ini.

“Kami membantah Arjun mencampuri urusan negara dengan mengeluarkan fakta salah dan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan kaum di negara ini dengan mengungkit sentimen agama terhadap penganut agama Islam dan Hindu di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette