Home Nasional Nafisah beri gambaran jelas dakwaan pindaan maklumat 1MDB

Nafisah beri gambaran jelas dakwaan pindaan maklumat 1MDB

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menyelesaikan siasatan berhubung wujudnya pindaan maklumat dalam laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Hari ini, saksi terakhir, bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad telah disiasat selama dua jam oleh PAC berhubung dakwaan pindaan tersebut.

Menurut Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, pihaknya amat berpuas hati dengan kenyataan serta penjelasan yang telah diberikan oleh Nafisah sebentar tadi.

Tanpa memberikan sebarang perincian, Kah Woh berkata, kenyataan oleh Nafisah sebenarnya sangat berguna dan membantu bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dakwaan pindaan maklumat skandal 1MDB itu.

“Maklumat tentang apa yang telah diberikan seperti biasa kita tidak dapat dedahkan kerana kekangan perintah tetap yang perlu saya patuhi. Tetapi, saya boleh beritahu anda, kami sangat berpuas hati.

“Keterangan yang diberikan oleh Nafisah sangat berguna dan membantu kami membuat sebarang kesimpulan berhubung kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita sebentar tadi.

Kah Woh menambah, Nafisah hanya memberikan keterangan secara lisan dan tidak memberikan apa-apa dokumen sebagai bahan bukti sebelum saksi terdahulu.

“Tidak, beliau hanya berikan keterangan secara lisan, tidak ada sebarang dokumen. Tetapi penjelasan serta keterangan beliau sebenarnya sangat berguna untuk kita,” ujarnya.

Semalam, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad pertahankan dakwaan terdapat penggubahan atau pindaan maklumat berkaitan 1MDB malah juga telah memberikan dokumen sokongan dakwaan tersebut.

Sebelum ini, pada 25 November lalu, Madinah membuat pendedahan mengejutkan tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bertindak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB. –MalaysiaGazette