Home Nasional NeNe Chicken minta siasatan letupan disegerakan

NeNe Chicken minta siasatan letupan disegerakan

Pasukan penyiasat menjalankan siasatan di lokasi letupan di salah sebuah premis di CityOne Megamall. foto UtusanBorneo

KUCHING – NeNe Chicken Malaysia selaku francais yang mengeluarkan lesen kepada kedai di CityOne Megamall yang menyaksikan insiden letupan gas pada Selasa mahu pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan siasatan mengenai insiden letupan yang berlaku di pusat membeli-belah itu.

Pengarah Urusannya, Raymond Wong berkata, hasil siasatan perlu diumumkan kepada orang ramai secepat mungkin memandangkan keseriusan insiden yang mengerikan itu.

“Pelantikan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di Restoran NeNe Chicken di CityOne Megamall bukan di bawah bidang kuasa atau skop NeNe Chicken Malaysia.

“Sudah tentu isu keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami tetapi pelantikan kontraktor diatur sepenuhnya oleh pemegang lesen CityOne,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wong berkata, NeNe Chicken Malaysia telah menghubungi pemegang lesen mereka untuk menyediakan dokumentasi yang perlu kerana ia juga dalam proses menjalankan siasatan dalamannya sendiri.

“Kami mengulangi bahawa kami komited sepenuhnya untuk membantu semua mangsa dan keluarga mereka di saat-saat yang sangat trauma ini,” katanya.

Letupan yang berlaku di restoran NeNe Chicken di CityOne Megamall di sini dipercayai disebabkan oleh letupan gas. Tiga maut dan 41 cedera dalam insiden tersebut. – MalaysiaGazette