Home Utama Singapura dakwa kapal-kapal kerajaan Malaysia 14 kali ceroboh perairannya

Singapura dakwa kapal-kapal kerajaan Malaysia 14 kali ceroboh perairannya

Khaw Boon Wan. foto The Independent Singapore

SINGAPURA – Singapura mendakwa bahawa kapal-kapal Kerajaan Malaysia secara berterusan menceroboh perairan wilayahnya di Tuas dengan 14 kali pencerobohan setakat ini.

“Singapura telah membantah penceroboh berulang menerusi tiga TPN (Nota Pihak Ketiga),” kata Menteri Pengangkutan republik itu Khaw Boon Wan dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dihantar kepada Bernama selepas sidang akhbar dengan media tempatan pada 5 petang.

Memandangkan perkembangan provokatif baru-baru ini, Khaw berkata, Singapura memutuskan untuk melebarkan Had Pelabuhan Singapura di luar Tuas melalui Pemberitahuan Maritim dan Penguasa Pelabuhan Singapura (Had Pelabuhan) (Pindaan) 2018.

“Pelebaran ini adalah dalam lingkungan Perairan Wilayah Singapura, dan menjejaki sempadan timur Had Pelabuhan Johor Bahru 1999. Warta itu berkuaskuasa hari ini,” kata Khaw.

Khaw menarik perhatian bahawa pendirian Singapura dengan Malaysia ‘sentiasa jelas dan konsisten’ kerana “kami mendukung undang-undang antarabangsa dan menghormati perjanjian dua hala.”

“Kami akan melindungi dan mempertahankan kedaulatan wilayah Singapura. Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan kegiatan yang tidak dibenarkan di perairan kita,” kata beliau.

Mengenai cadangan Malaysia bahawa kedua-dua negara berusaha ke arah mencari penyelesaian secara berbaik-baik, Khaw berkata: “Singapura sememangnya bersetuju dan akan menyusulnya.”

“Kami sentiasa berpandangan, sejak Malaysia menerbitkan peta pertamanya pada 1979, bahawa garis sempadan di kawasan ini hanya boleh diselesaikan mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa, melalui perundingan antara kerajaan-kerajaan terlibat.

“Dalam pada itu, kapal-kapal Kerajaan Malaysia harus menghentikan pencerobohan dan kembali ke “status quo” sebelum 25 Okt, 2018,” kata beliau.

Bagaimanapun, Khaw menyatakan bahawa beliau “tetap optimis.”

“Kami masih berusaha untuk mengekalkan hubungan dua hala yang baik, dan berharap kita boleh bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang baik terhadap isu-isu ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette