Home Ekonomi Harga minyak global susut hampir 3%

Harga minyak global susut hampir 3%

NEW YORK – Harga minyak susut hampir tiga peratus dalam dagangan hari ini selepas OPEC dan sekutu-sekutunya mengakhir pertemuan tanpa mengumumkan sebarang keputusan berhubung pemotongan pengeluaran.

Niaga hadapan Brent susut AS$1.50 kepada AS$60.06 setong selepas susut kepada AS$58.38 pada sesi sebelumnya dan minyak Amerika Syarikat jatuh kepada AS$51.49 setong.

Penanda aras itu telah merosot lebih daripada 25 peratus pada suku ini.

OPEC mengadakan pertemuan di Vienna untuk mengumumkan polisi pengeluaran bersama-sama negara-negara anggota, juga disertai oleh Rusia, Oman dan Kazakhstan.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport (OPEC) minyak itu pada dasarnya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran tetapi menunggu komitmen daripada Rusia sebelum membuat sebarang keputusan.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, OPEC memerlukan Rusia untuk bekerjasama.

Keputusan berhubung perkata itu dijangka diputuskan pada petang Jumaat.

“Jika setiap orang tidak bersetuju untuk menyertainya dan menyumbang secara adil, kami akan menunggu sehingga semua mahu menyertainya,” kata al-Falih.

Pasaran menjangkakan OPEC dan sekutunya akan mengurangkan sehingga 1 juta hingga 1.4 juta tong sehari.  – MalaysiaGazette